Mahasiswa jelajah semenanjung tuntut kebebasan akademik

KUALA LUMPUR 28 Dis: Walaupun mendapat pelbagai ugutan dan kecaman khasnya dari pemimpin Umno, mahasiswa masih tidak gentar bagi memperjuangkan hak mereka dan menuntut kebebasan akademik dilaksanakan di negara ini.

Terbaru, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) akan mengadakan jelajah ke semenanjung Malaysia untuk menyampaikan mesej serta tuntutan mereka.

“SMM & BEBAS akan memulakan jelajah ini dengan mengadakan serahan memorandum & sudut pidato Kebebasan Akademik di dua negeri di Utara Tanah Air,” kata
kumpulan mahasiswa berkenaan dalam satu kiriman email kepada keadilandaily.

Turut serta dalam siri jelalah itu, ialah pemimpin mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Adam Adli Abdul Halim yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila menurunkan bendera Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, ia turut disertai Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abd Razab, Safwan Anang (BEBAS), Adam Adli Abdul Halim (LMP UPSI), Haziq Abdullah (KAMI) dan Ekhsan Bukharee (AKSI).

Satu memorandum Kebebasan Akademik akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah pada 29 Disember, jam 10 bertempat di di Wisma Aman, dan disusuli pidato Kebebasan Akademik di Padang Kota Lama, Pulau Pinang Jam 1 tengahari.

Semalam, SMM dan BEBAS dilapor akan mengadakan perhimpunan menuntut UPSI menggugurkan tuduhan terhadap Adam Adli dan menuntut supaya Akta Universiti
dan Kolej di Mansuhkan.

Menurut Ahmad Syukri, mereka akan berkampung selama 16 jam di hadapan UPSI bermula 9 malam pada 31 Disember sehingga jam 1 petang keesokan harinya.

Posted in Bersih | Leave a comment

Imam seleweng zakat dipenjara 4 tahun, tapi Jamil Khir terlepas

KUALA LUMPUR 28 Dis: Seorang imam di Johor yang menyalahgunakan wang zakat dipenjara selama empat tahun, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terlepas dari sebarang pertuduhan meskipun melakukan kesalahan sama.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad mengulas surat terbuka Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur yang dialamatkan kepada ketua polis negara hari ini.

Dalam surat berkenaan, Mat Zain membangkitkan dwi-standard kes Jamil Khir dengan kes membabitkan bekas imam di Kulaijaya, Redzuan Mohd Said yang didapati menyelewengkan RM19,510 kutipan zakat.

Redzuan yang melakukan kesalahan itu antara Ogos dan September tahun ini, dihukum empat tahun penjara dan tiga sebatan, meskipun telah memulangkan kembali wang tersebut.

“Adakah wujud perbezaan antara seorang amil zakat biasa yang melakukan kesalahan dengan seorang Menteri dan Ketua Pengarah JAWI? ”

“Jamil Khir tidak sepatutnya diam membisu dan segera menjawab persoalan ini yang pastinya menimbulkan kegusaran di kalangan umat Islam negara ini,” tegas Nik Nazmi.

Ketua Audit Negara November lalu mengesahkan Jamil Khir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Shamsuddin Hussain, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka bagi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Audit memaklumkan MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir yang mewakili ketiga-tiga mereka pada 11 Januari 2010 .

Isu ini dibangkitkan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen dan dibawa ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Wang zakat itu dipulangkan semula selepas MAIWP menerima geran kerajaan pada 22 Jun 2010 sebanyak RM700,000.

“Persoalannya, adakah begitu mudah untuk MAIWP menggunakan wang zakat yang dibayar umat Islam bagi asnaf-asnaf yang khusus untuk perbelanjaan lain?,” soal Nik Nazmi.

Posted in Bersih | Leave a comment

Kempen minima 21 hari: Najib perlu contohi Indonesia

(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 28 Dis: Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak perlu mengikut jejak langkah negara jiran Indonesia yang melaksanakan kempen minima 21 hari, kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Ini kerana katanya, tempoh kempen itu sangat sesuai bagi memberi keadilan kepada semua parti politik yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

“Isu utamanya ialah keadilan, setiap parti harus diberi ruang yang sama rata untuk bertanding.

“Tempoh itu sangat sesuai bagi setiap parti memperjelas manifesto dan apa yang mereka tawarkan kepada rakyat jika berjaya membentuk kerajaan,” katanya
dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Menurutnya, sehingga kini tempoh kempen pilihan raya di negara ini sangat singkat dan tidak mencukupi bagi parti politik menjelaskan manifesto mereka kepada rakyat.

“Kempen minima 21 hari ini juga sangat berkait rapat dengan akses media yang adil dan bebas seperti yang dituntut Bersih.

“Oleh itu, kita juga mencabar Najib jika benar mahu menjadikan Malaysia negara paling demokratik seperti diungkapnya pada 16 September lalu, beliau wajar memberi peluang kepada setiap parti bertanding muncul di media arus perdana bagi menjelaskan manifesto masing-masing,” tegasnya.

Menurut Fuziah, RTM misalnya, meskipun media milik kerajaan, tetapi ia dibiayai menggunakan wang rakyat dan setiap rakyat berhak mendapat maklumat adil.

Kempen minima 21 hari dilaksana di Indonesia sejak 2009 selain setiap parti bertanding boleh muncul di media di negara jiran itu.

“Kita tidak bataskan had kempen mereka di media massa. Ini boleh memberi kelebihan kepada mereka yang berwang. Saya difahamkan ini agak berbeza dengan apa
yang berlaku di negara jiran (Malaysia).

“Komisi Pemilihan Umum Indonesia (di Malaysia disebut sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak menghalang mana-mana parti politik berkempen melalui media
massa asalkan mereka mampu membayar,” kata Pimpinan Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia, Sri Suranti kepada Harakahdaily.

Posted in Bersih | Leave a comment

Najib tidak jawab isu kemiskinan menjelang 2020 – Anwar

KUALA LUMPUR 27 Dis: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang tidak menjawab isu sebenar mengenai
kemiskinan menjelang 2020 dan kegagalan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa
kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat
terbanyak dipinggirkan.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Najib langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari
40% pada tahun 2009 kepada 33% sahaja pada tahun 2020,” kata Anwar.

Beliau mengulas kenyataan Penganalisis PEMANDU, Marc Fong  bahawa tanpa ETP, kira-kira tujuh juta rakyat Malaysia akan memperoleh pendapatan kurang RM1,500 menjelang tahun berkenaan.

Memetik pelan hala tuju ETP, Fong dilapor berkata unjurannya ialah 2.3 juta orang akan memperolehi pendapatan di bawah RM1,000 manakala 4.7 juta akan memperolehi pendapatan RM1,000 hingga 2,000 pada 2020.

“Jawapan tersebut tidak menjawab persoalan utama yang saya lontarkan, iaitu menjelang tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar.

“Angka itu menunjukkan selepas berbilion ringgit dibelanjakan, hanya penambahbaikan yang tidak seberapa,” kata Anwar.

Apatah lagi, kata Anwar, hujah yang dikemukakan juga mengambil kira unjuran-unjuran ETP yang meragukan.

“Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6% setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6% setiap tahun, manakala kos sara hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah,” ujarnya.

Katanya lagi,  unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8% setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik kerana kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3%.

“Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4% setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.

“Keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6% setiap tahun bila mana jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang,” kata Anwar.

Posted in Bersih | Leave a comment

Anwar jelajah Malaysia menjelang 9 Januari

KUALA LUMPUR, 27 Dis : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menemui rakyat menerusi program jelajah di seluruh negara, menjelang keputusan
perbicaraannya pada 9 Januari depan.

Program jelajah itu akan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat mendengar penjelasan berhubung kes Fitnah II yang dihadapinya, selain mengetahui
perkembangan politik semasa tanah air.

Program jelajah pada 3 Januari itu akan bermula di Johor meliputi Daerah Ledang dan Muar, dan 4 Januari di Bandar Tampin, Negeri Sembilan dan di Bukit
Katil, Melaka.

Manakala pada 5 Januari beliau akan menemui pengundi di Pahang iaitu di Bentong, Balok dan juga Indera Mahkota

Pada hari sama, beliau juga akan turut ke Dungun dan Kuala Terengganu sebelum berada di Pasir Puteh dan Machang, Kelantan pada sebelah malam.

Pada 6 Januari pula, Anwar dijadualkan berada di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan di Kelana Jaya, Selangor.

Beliau akan bertolak ke Pulau Pinang pada 7 Januari dan selepas itu ke Terengganu bagi mengikuti Program Sambutan 100 tahun penubuhan Kerajaan Islam Terengganu di Kuala Berang.

Kemuncak program jelajah tersebut berakhir di Kelab Sultan Sulaiman pada 8 Januari pada jam 11 malam, selepas sembahyang hajat di kediamannya.

Posted in Bersih | Leave a comment

Noh Omar dicabar kemuka peruntukan RM2.71 Bilion di Selangor

(Oleh: Nabihah Hamid)
SHAH ALAM 27 DIS: KEADILAN Selangor mencabar Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan butiran terpeinci peruntukan
RM2.71 bilion yang disalurkan kerajaan pusat ke negeri itu.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, peruntukan tersebut yang didedahkan diagihkan kepada Umno bahagian, jelas menggambarkan parti itu semakin
terdesak untuk menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Umno bukan sahaja terdesak malah sudah hilang arah itu dan kini menaburkan wang dengan hasrat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat,”

“Duit itu datang dari hasil cukai rakyat dan bukannya Umno. Saya cabar Noh Omar beritahu, di mana dia nak laburkan dan jenis prasarana yang akan
dibuat (di Selangor),” kata beliau.

Media baru-baru ini melaporkan Datuk Seri Noh Omar yang Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) mendakwa Kerajaan Persekutuan
memperuntukkan jumlah tersebut bagi melaksanakan projek pembangunan di Selangor.

Menurut Shuhaimi, sekiranya benar ia bagi tujuan pembangunan, peruntukan itu perlu disalurkan dengan betul supaya tidak mengulangi penyelewengan yang berlaku terhadap Pusat Fidlot Kebangsaan.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad mendedahkan , peruntukan itu merupakan salah guna kuasa membabitkan dana rakyat yang juga pembayar cukai.

Khalid berkata, peruntukan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebelum diserahkan
kepada Ketua-Ketua Umno Bahagian.

“Kita tahu bahawa peruntukan terbesar yang di terima oleh pemimpin-pemimpin Umno Bahagian ini bertujuan untuk memastikan Umno/BN menawan kembali Selangor
dari Pakatan Rakyat (PR),” jelas beliau kepada TV Selangor.

Posted in Bersih | Leave a comment

Pakatan bentang manifesto di Konvensyen bulan depan

KUALA LUMPUR 27 Dis: Pakatan Rakyat akan membentangkan manifesto bersama pada Konvensyen yang diadakan di Kedah 14 Januari depan, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution.

Saifuddin berkata, konvensyen tersebut akan menjadi platform bagi Pakatan mengenengahkan tawaran kepada rakyat menjelang pilihan raya Umum (PRU) akan
datang.

“Konvesyen ini akan menjadi satu platform untuk menghuraikan semua tawaran pakatan dan akan memfokuskan isu-isu yang melibatkan masalah berkaitan dengan rakyat,” kata beliau kepada Keadilandaily.

Katanya, selain manifesto yang bakal dibentangkan, Pakatan sebelum ini memiliki dokumen seperti Buku Jingga dan Agenda Ekonomi Malaysia yang  menawarkan
kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan seramai 3,000 perwakilan akan menyertai konvensyen berkenaan yang bakal dirasmikan oleh pemimpin utama ketiga-tiga
parti itu di Stadium Sultan Abdul Halim.

Saifuddin berkata semua pimpinan utama Pakatan akan berada sehari lebih awal di negeri itu bagi menyertai Gerak Gempur yang diadakan di 15 kawasan parlimen.

Sementara itu, Saifudin berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih tidak memberi respon terhadap permohonan untuk mendaftar Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik.

“Tiada sebarang reaksi yang saya terima dari ROS setakat ini.

“Dalam mesyuarat Pakatan akan datang, saya akan bentangkan status tersebut dan segala tindakan selanjutnya akan diambil dari arahan pimpinan pakatan,” kata beliau.

Posted in Bersih | Leave a comment