Umno rancang gantung Anwar dari awal


Kerajaan Umno BN mempunyai niat dari awal lagi untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Anwar mendedahkan di Parlimen tindakan kerajaan BN membayar RM77 juta kepada APCO, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.


“Mereka sudah berusaha dari awal lagi untuk menggantung Anwar kerana kita lihat, walaupun Anwar sudah bersedia dengan dokumen bukti semenjak April lagi, Najib dan Nazri memilih untuk membisu pada masa tersebut” kata Mahfuz.


Menurut Mahfuz,  Jawatankuasa Hak dan kebebasan Parlimen hanya bersandarkan sepucuk surat dari Apco bertarikh 19 Ogos,  sedangkan Anwar menimbulkan perkara itu pada April 2010.


Keadaan itu menunjukkan bahawa syarikat perunding Israel itu telah ditekan untuk menafikan pembabitan mereka dalam menjalankan kempen 1Malaysia.


Mahfuz berkata, senario Anwar yang dihukum dahulu sebelum membela diri di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen membuktikan perbicaraan itu lebih teruk daripada ‘mahkamah kanggaru’.


Setelah dihukum, barulah Nazri mula berhujah dan menunjukkan ‘bukti’ dokumen dari pihak APCO, katanya lagi.


“Kenapa Najib dan Nazri takut untuk berdepan dengan Anwar di Parlimen dan hanya mengemukakan ‘bukti’ sekarang?


“Kenapa mereka memilih untuk percaya dan membuat keputusan penggantungan semata-mata berdasarkan sekeping surat dari APCO dan enggan mendengar keterangan Anwar untuk membela diri?” soalnya.


Pada 22 April 2010, selepas Anwar membuat pendedahan tersebut di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan agar Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tanpa dibahas walaupun cadangan tersebut ditentang Ahli-ahli Parlimen pembangkang.


Susulan daripada cadangan tersebut, Nazri secara berterusan turut menafikan hak Anwar untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di hadapan jawatankuasa tersebut.


Anwar dihalang daripada mempunyai peguam bagi mewakili beliau dalam pembelaannya


Dua surat yang didedahkan Nazri kepada media semalam yang kononnya menafikan pembabitan APCO dalam konsep 1 Malaysia juga hanya dibuat selepas 8 bulan Anwar mencabar Najib membuat penafian di Parlimen.


Ia juga dibuat setelah Anwar digantung, dan bukannya dibentangkan dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tersebut.

Advertisements
This entry was posted in NASIONAL. Bookmark the permalink.