Imbuhan khas pendidik: Muhyiddin perlekeh peranan guru


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang disifatkannya memperlekehkan peranan guru di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa langkah kerajaan Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan khas pendidik akan menyebabkan Malaysia mengalami muflis.

“Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini. Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian, dasar dan pembangunan pendidikan, operasi pendidikan dan pembangunan profesionalisme keguruan”, kata Anwar.

Menurut Anwar, jumlah peruntukan berkenaan yang menelan belanja RM3.2 bilion setahun amat kecil dibandingkan pembaziran yang dilakukan di bawah kerajaan Umno- Barisan Nasional.

“Kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru. Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan.

“Pembaziran UMNO/Barisan Nasional sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, ia tidak termasuk pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

Advertisements
This entry was posted in NASIONAL. Bookmark the permalink.