KUALA LUMPUR 27 Dis: Pakatan Rakyat akan membentangkan manifesto bersama pada Konvensyen yang diadakan di Kedah 14 Januari depan, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution.
Saifuddin berkata, konvensyen tersebut akan menjadi platform bagi Pakatan mengenengahkan tawaran kepada rakyat menjelang pilihan raya Umum (PRU) akan
datang.
“Konvesyen ini akan menjadi satu platform untuk menghuraikan semua tawaran pakatan dan akan memfokuskan isu-isu yang melibatkan masalah berkaitan dengan rakyat,” kata beliau kepada Keadilandaily.
Katanya, selain manifesto yang bakal dibentangkan, Pakatan sebelum ini memiliki dokumen seperti Buku Jingga dan Agenda Ekonomi Malaysia yang menawarkan
kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau menjangkakan seramai 3,000 perwakilan akan menyertai konvensyen berkenaan yang bakal dirasmikan oleh pemimpin utama ketiga-tiga
parti itu di Stadium Sultan Abdul Halim.
Saifuddin berkata semua pimpinan utama Pakatan akan berada sehari lebih awal di negeri itu bagi menyertai Gerak Gempur yang diadakan di 15 kawasan parlimen.
Sementara itu, Saifudin berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih tidak memberi respon terhadap permohonan untuk mendaftar Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik.
“Tiada sebarang reaksi yang saya terima dari ROS setakat ini.
“Dalam mesyuarat Pakatan akan datang, saya akan bentangkan status tersebut dan segala tindakan selanjutnya akan diambil dari arahan pimpinan pakatan,” kata beliau.