Agenda Pakatan, Buku Jingga : Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA!

(Klik di sini untuk muat turun edisi penuh)

Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal.

Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.

Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.

Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:

  1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
  2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
  3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
  4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Muafakat asas yang membentuk Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat untuk:

  1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
  2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
  3. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.

Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.

Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.

Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah merudum.

Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara rakus.

Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.

Makanya, negara dan rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.

Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada gelap.

Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.

Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil. Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi penting negara.

Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.

Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.

Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

(Untuk edisi penuh Buku Jingga sila klik di sini)

Posted in KENYATAAN MEDIA, RISALAH KEADILAN

Anwar tidak bersalah atas tuduhan fitnah II

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau didapati tidak bersalah atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu disambut gembira kira-kira 10,000 peserta Himpunan 901yang membanjiri perkarangan mahkamah seawal jam 5 pagi.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebas dan dilepaskan.

Bagaimanapun, beliau tidak membaca penghakiman penuh kecuali kesimpulannya iaitu  kedua-dua bukti iaitu DNA dan oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.

“Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh pasti 100 peratus bahawa bukti telah diusik.

“Justeru, mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful.”

Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan menanggis sambil memeluk suaminya dalam kegirangan.

Posted in Bersih | Leave a comment

Pakatan Rakyat tekad mansuh Auku – Anwar

KUALA LUMPUR 29 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat tekad untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sekiranya menerajui Putrajaya kelak.

“Saya mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Umum KEADILAN itu turut menggesa kerajaan agar menghentikan segala tekanan terhadap mahasiswa dan menyifatkan Umno sebagai terdesak kerana dilihat seakan takut dengan kelompok mahasiswa.

“Tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan Umno semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan ini serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono.

“Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa. Tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus,”

“Insiden remeh di depan ibu pejabat Umno di PWTC yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik Umno seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan,” kata Anwar.

Tambah beliau, tindakan menghukum menggunakan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

Anwar turut membidas janji komitmen pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kononnya mahu meminda Auku dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian hanyalah omong kosong.

Pada 23 Disember lalu, Adam Adli Abdul Halim menerima surat panggilan ke jawatankuasa disiplin UPSI dan berdepan dua pertuduhan, iaitu mencemarkan nama universiti serta memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

Ia berikutan tindakannya menurunkan bendera Najib selepas Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyerahkan memorandum menuntut kebebasan akademik kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Suruhajaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tindakan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak khususnya sekumpulan penyokong Umno.

Posted in Bersih | Leave a comment

Sorotan Politik Tanah Air Sepanjang Tahun 2011

Januari (gambar rosmah, berlian, cincin)

-  Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur  mempunyai pejabat sendiri, Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Jabatan Perdana Menteri. Gelaran First Lady of Malaysia (FLOM) yang diguna Rosmah mencetuskan kontroversi kerana ia adalah gelaran Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Agong.

- Badan pemerhati kewangan antarabangsa, Global Financial Integirty (GFI) mendedahkan pengaliran keluar wang haram sebanyak RM888 bilion di antara tahun 2000 ke 2009. Wang haram adalah daripada aktiviti tidak sah seperti rasuah, kecurian, sogokan serta pengelakan cukai.

- Pilihan raya kecil Tenang adalah pilihan raya kecil ke-14 selepas Pilihan Raya Umum 2008. Ia diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Sulaiman Taha meninggal pada 17 Disember 2010

Februari

- Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru rakyat mengambil iktibar daripada kejatuhan diktator Hosni Mubarak daripada tampuk Presiden Mesir.

Mac (gambar datuk T)

- Pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau yang merupakan pilihan raya kecil ke-15 dan ke-16 berlangsung serentak pada 6 Mac 2011. Kedua-duanya dimenangi Barisan Nasional.

- Trio ‘Datuk T’ menyebarkan video fitnah yang cuba memburukkan nama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

April (gambar pilihan raya sarawak)

- Pilihan raya umum Sarawak berlangsung pada 16 April. Pakatan Rakyat mengorak langkah di dengan memenangi 15 kerusi .

- Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), Kadir Hashim ditahan secara kejam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 20 hari.

- Sebuah syarikat hampir muflis, Tricubes Berhad dianugerahkan projek emel 1Malaysia bernilai RM50 juta. Tricubes Berhad adalah syarikat di bawah CIMB Group yang dimiliki adik Perdana Menteri, Datuk Nazir Razak.

- Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini ditemui mati sewaktu disoal siasat kerana ‘jatuh’ dari tingkat tiga pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mei (gambar felda)

1. Felda didedahkan meminjam wang RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pinjaman itu mengundang kontroversi kerana ia dibuat sewaktu menteri bertanggungjawab, Datuk Ahmad Maslan membuat kenyataan bahawa kedudukan kewangan Felda kukuh.

Jun (gambar muhammad syamil)

- Kementerian Pelancongan di bawah Datuk Seri Ng Yen Yen membelanjakan RM1.8 juta untuk menyelenggara laman Facebook. Kontrak  dianugerahkan kepada Impact Creations Sdn Bhd, sebuah syarikat IT  dipercayai pemiliknya rakan Ng Yen Yen.

- Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Jamil Khir Baharom menyelewengkan wang zakat sebanyak RM32 ribu bagi membayar yuran guaman peribadi dalam usahanya menghalang kes Qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah syariah.

- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya merisik pertunangan anak perempuan mereka di Kazakhstan menggunakan wang rakyat. Ia dibuat ‘serentak’ dengan Persidangan Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di Kazakhstan .

- Remaja mangsa kekejaman polis, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei disahkan dibunuh dari jarak dekat dalam keadaan melutut.

Julai (gambar bersih)

- Enam orang pimpinan Parti Sosialis Malaysia termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj ditahan di bawah Ordinan Darurat sewaktu berkempen untuk menamatkan rejim pemerintahan BN selama 54 tahun.

- Lebih 70 ribu rakyat keluar berdemonstrasi pada 9 Julai menuntut pilihan raya bersih dan adil. Himpunan  Bersih 2.0 menuntut lapan perubahan dalam pilihan raya umum. Seorang peserta, Baharuddin Ahmad yang mati akibat dinafikan bantuan perubatan oleh polis.

- Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membawa masuk secara rahsia cincin berlian berharga RM24 juta yang dibeli dari Jacob & Co, saudagar permata di Amerika Syarikat. Beliau mengelak dakwaan itu tetapi kemudiannya mendakwa cincin itu hanya transit ke Malaysia sebelum dihantar ke Kazakhstan.

- Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo Ghazali meninggal dunia akibat barah paru-paru.
Ogos (gambar apco, fbc media)

- Najib Razak membayar RM84 juta kepada sebuah firma penyiaran FBC Media untuk menerbitkan dan melobi slot penyiaran dokumentari bagi memperbaiki imej buruknya di peringkat antarabangsa.

- Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk penambahbaikan pilihan raya ditubuhkan

September (gambar syarikat arak, exxon mobil)

- Sebuah syarikat berkaitan arak dimiliki anak  Dr Mahathir Mohamad mengambil alih syarikat minyak, Exxon Mobil Corporation. San Miguel Corporation menguasai 65 peratus saham Esso Malaysia Berhad (EMB).

Oktober (gambar lembu shahrizat)

- Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat yang bertujuan mengurangkan kadar defisit negara .Hutang negara mencecah RM437 bilion berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia

- Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Aziz Bari digantung tugas oleh UIA kerana menyuarakan pendapat dalam isu serbuan gereja di Petaling Jaya.

- KEADILAN mendedahkan keluarga Ketua Wanita Umno  Shahrizat Jalil menyalahguna wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diperuntukkan kepada syarikat milik keluarganya National Feedlot Corporation (NFC).

NFC  menggunakan wang RM250 juta itu untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar, seunit kondominium mewah di Singapura, dua bidang tanah di Putrajaya, melancong ke luar negara, menunaikan umrah serta pemberian diskaun pembelian daging yang dibuat rangkaian restoran keluarga Shahrizat.

November (gambar kedai rakyat 1malaysia)

- Anak lelaki Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib, 28 membeli sebanyak 2.04 juta saham pada harga 84.5 sen seunit berjumlah RM1.69 juta dalam sebuah syarikat pembalakan, Harvest Court Industries Bhd, sekaligus menyaksikan harga saham syarikat berkenaan melonjak paling tinggi .

- Kedai Rakyat 1Malaysia yang dimiliki rangkaian pasaraya Mydin dan menerima subsidi berjumlah RM40 juta didedahkan menjual barangan pada harga yang lebih mahal berbanding hypermarket lain. Kualiti barangan yang dijual tidak memenuhi piawaian, sos tiram 1Malaysia diarah ditarik balik dari pasaran oleh Kementerian Kesihatan kerana melanggar Akta Peraturan Makanan 1985.

- 10 orang ditahan di Sabah di bawah ISA walau pun Perdana Menteri mengumumkan ISA dimansuhkan dalam bulan September.

- Akta Himpunan Aman 2011 diluluskan oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun mendapat tentangan.  Lebih 1000 peguam berarak ke Parlimen bagi membantah  akta itu pada 29 November.

Disember (gambar adam adli)

- Aktivis mahasiswa, Adam Adli, 22, dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) bertindak berani menurunkan bendera wajah Najib di PWTC pada 17 lalu  diganti dengan bendera ‘Kebebasan Akademik’.

- Kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Malaysia dilapor sebanyak U$1.46 bilion (RM4.6 bilion), melalui pemilikan aset korporat di 14 syarikat. Ia didedahkan NGO  berpengkalan di Switzerland, Dana Bruno Manser (BMF).

- Selepas berbohong dan membuat penafian, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengaku meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau. KEADILAN mendedahkan tiga dokumen rasmi Bank Dunia berhubung salah satu dari empat pinjaman berjumlah US$704 juta oleh kerajaan Malaysia sejak 1997.

Posted in Bersih | Leave a comment

Menteri seleweng wang zakat: Ulama, mufti perlu bersuara

KUALA LUMPUR 28 Dis: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan meminta ulama dan mufti di negara ini bersuara terhadap isu penggunaan  wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tujuan membayar kos guaman beliau.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Sohaimi Abdul Aziz berkata, pandangan itu penting bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif umat Islam terhadap institusi  zakat dan pemimpin yang berkuasa menjaga institusi tersebut.

“Sekiranya tindakan ini salah dan melanggari syariat Islam, teguran secara terbuka perlu dibuat terhadap Datuk Seri Jamil Khir dengan ingatan dan amaran keras,”

“Kemungkaran yang dilakukan perlu dicegah terutama melibatkan pemimpin besar negara kerana mereka perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, isu sama ada wang tersebut telah dikembalikan tidak timbul kerana persoalan pokok yang perlu dijawab adalah bolehkah duit zakat digunakan
untuk kepentingan peribadi pemimpin.

“Sebagai pemimpin yang berkuasa dalam urusan hal ehwal umat Islam di negara ini, sepatutnya beliau (Jamil) memegang amanah ini sebaiknya. Wang zakat perlu  diuruskan dengan betul dan disalurkan ke tempat yang sewajarnya,” kata Abdul Aziz.

Katanya lagi, selain memohon maaf, Jamil Khir juga perlu bersedia menghadapi sebarang tindakan dan hukuman jika terbukti jelas telah melakukan kesalahan itu.

Jamil, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, sebelum ini dilapor
menggunakan wang tersebut dalam kes qazaf yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Audit Negara baru-baru ini mengesahkan penggunaan Wang zakat itu bagi mebiayai kos guaman mereka, sebelum ia dipulangkan semula apabila MAIWP menerima geran kerajaan pada Jun 2010 sebanyak RM700,000.

Posted in Bersih | Leave a comment

SBPA wujudkan jurang dalam sektor awam- Izzah

KUALA LUMPUR 28 Dis: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, ketidakadilan akibat pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam, mewujudkan
jurang yang besar dalam sektor itu.

Katanya, peranan penjawat awam sebagai tunjang perkhidmatan dan penggerak pembangunan negara, bukan sahaja perlu dihargai tetapi kebajikan serta suara mereka juga perlu dihormati.

“Penyisihan, pengkelasan dan ‘penswastaan’ peranan sektor awam mewujudkan perbezaan (bukan sahaja) di antara dua, tetapi lebih tepat empat darjat,” ujar Izzah dalam satu kenyataan.

Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat menuntut supaya kerajaan mengembalikan semula hak asasi semua penjawat awam dengan menangguhkan semula SBPA.

Kongres Kesatuan Sekerja (Cuepacs) sebelum ini menuntut pelaksanaan SBPA yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari ditangguhkan kerana ia mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Dalam sistem tersebut berlaku ketidakseimbangan pelarasan gaji yang bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 iaitu kenaikan 7 hingga 13 peratus.

Antara faktor CUEPACS tidak bersetuju dengan polisi SBPA yang menyebut kakitangan awam yang memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT)
kurang daripada 70 peratus, boleh dibersarakan awal.

Presidennya, Omar Osman mendakwa peraturan itu boleh disalahgunakan pegawai atasan bagi menindas kakitangan yang tidak disukai dengan memberi markah
rendah.

Selain itu, paras 70 peratus dalam LNPT adalah lebih tinggi berbanding markah 50 peratus yang diperlukan di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi kenaikan gaji.

Selain itu, Cuepacs mendakwa pihaknya kesal kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mengadakan langsung perundingan dengannya sebelum
menggubal dan melaksanakan SBPA.

Bagaimanapun, JPA bersetuju membuat pindaan segera dalam taklimat dan rundingan yang dilakukan dengan badan induk itu yang dianggotai 1.4 juta pekerja itu
, baru-baru ini.

Posted in Bersih | Leave a comment

Tol RM9.10 sehala bebankan rakyat Johor – Jui Meng

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR 28 Dis : KEADILAN Johor membantah sekeras-kerasnya cadangan kadar tol Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL) sebanyak RM9.10
sehala oleh pemilik konsesi, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, kadar tol yang tinggi itu menjadi beban terutama kepada rakyat Johor yang bekerja di Singapura dan perlu membelanjakan kira-kira RM18 sehari bagi berulang alik ke negara republik itu.

“Ini memberikan keuntungan mega kepada kroni Umno, berpuluh-puluh ribu warga Johor keluar masuk ke Singapura. Adakah mereka perlu menanggung kos tol yang tinggi ini?,” kata beliau kepada Keadilandaily.

Malah katanya, cadangan kadar tol yang keterlaluan ini akan turut menjejaskan industri pelancongan di Johor Bahru.

“Semua ini semata-mata hendak menguntungkan kroninya dan tidak mempedulikan kebajikan rakyat. Justeru kita (KEADILAN) membantah sekeras-kerasnya.

“Rakyat akan mendapat tambahan beban dari aspek kewangan, dan ia juga melibatkan orang Singapura yang akan berkira-kira masuk ke JB. Walaupun mata wang
singapura lebih tinggi, tetapi RM18.20 adalah jumlah yang besar,” kata beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Sebelum ini Suara KEADILAN melaporkan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Johor, Steven Chong berkata, kadar tol yang tinggi itu memberi kesan kepada ekonomi Johor Bahru JB.

“Paling terkesan ialah pendapatan pemandu teksi Johor Bahru-Singapura yang akan merosot teruk. Kadar tol ini menjadi punca kerana kos minima bagi sebuah kereta bagi perjalanan pergi balik adalah sebanyak RM18.20,” kata Steven.

EDL dibina dengan kos RM977 juta sepanjang 8.1 km dari Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersambung ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) melalui
susur keluar Pandan.

Pembinaannya bermula Februari 2008 dan dijangka beroperasi pada Februari 2012.

Steven turut mempersoalkan pemegangan konsesi selama 34 tahun yang tidak munasabah oleh MRCB. Syarikat itu bakal menerima perolehan berjumlah RM5.647 bilion, sedangkan kos pembinaannya hanya RM1 bilion.

“Jika kita ambil RM9.10 bagi sebuah kereta dengan lebih kurang 50,000 kenderaan masuk keluar setiap hari, ini bermakna kutipan tol sehari ialah RM455,000. Dalam sebulan, RM13.8 juta dan setahun RM166 juta (keuntungan),” kata beliau.

Posted in Bersih | Leave a comment

Najib takut bertindak, bimbang Shahrizat dedah keburukan Umno

KUALA LUMPUR 28 Dis: Tidak ada sebab perdana menteri mahu melengah-lengahkan tindakan terhadap Datuk Seri Shahrizat Jalil, melainkan beliau bimbang menteri itu akan mendedahkan lebih banyak keburukan Umno sekiranya dipecat.

“Apakah Najib takut bertindak disebabkan bimbang Shahrizat mendedahkan pelbagai lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk keluarga Najib sendiri sekiranya beliau dipecat?

“Apakah juga disebabkan ada pemimpin lain yang turut terlibat, Kalau tidak mengapa Najib masih membisu,” kata Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Justeru beliau mencabar Datuk Seri Najib Razak menjawab segala persoalan mengenai skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat itu.

“Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya mendepani masalah ini kerana beliau adalah ketuanya,” tegas Haniza yang juga Timbalan Speaker Dun Selangor.

KEADILAN sebelum ini menedahkan sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Shahrizat.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek ternakan lembu tersebut menghadapi masalah seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

KEADILAN kemudian mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta dan sebuah lagi di Singapura bernilai RM9.9 juta.

Selain itu, KEADILAN mendedahkan sejumlah RM5 juta dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Posted in Bersih | Leave a comment